Tuesday, January 29, 2008

Renungan Bersama

"Ya Allah, haramkanlah kulit,darah, daging dan tulangku daripada api neraka,". Demikianlah doa seorang hamba yang datang kepada Tuhannya membawa penyesalan. Maka tiada kegembiraan melebihi kegembiraan Allah Ta'ala mendengar rintihan hamba-Nya. Tiada pandangan lebih bernilai daripada pandangan rahmat Allah keatasnya.
Kekotoran dibalas dengan kesucian, air mata digantikan dengan perasaan bahagia yang menyelimuti diri, dalam kesusahan dapat juga dirasai erti kenikmatan diterima menjadi hamba-Nya yang dekat dan rapat.

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku ( Allah) sentiasa hampir ( kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi orang yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah:186)

Antara tanda dekatnya seseorang hamba kepada Allah ialah gementar hatinya apabila disebut nama Allah. Dalam keadaan dia tetap meletakkan kesucian dan keagungan Allah berada pada tempat yang tertinggi dalam hatinya. Gementar hati bermakna hati yang fokus kepada mencari redha Allah, sentiasa jujur dalam hubungan dengan Tuhannya, tidak ada perbezaan ketika susah atau senang, sendirian atau berada ditengah manusia yang ramai, hatinya tetap setia, jujur dan ikhlas mencintai Tuhannya.Gementar bukan Cuma bermakna takut tetapi juga rindu dan bahagia. Dia yakin bahawa Allah dekat disisi.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka."(Surah An-Anfal:2)
Imannya sentiasa bertambah. Setiap hari dia seolah-olah menaiki anak tangga menuju puncak redha Allah. Ada yang terjatuh dan kembali bangkit, ada yang duduk diam tak mahu mendaki, ada pula yang berhati-hati hingga mencapai tingkat yang lebih tinggi daripada orang lain. Sabar dan mujahadah, waspada dan tawakal menjadi pemangkin semangat menuju puncak kejayaan. Hamba yang dekat di sisi Allah tidak akan membiarkan dirinya berpaling daripada-Nya. Namun demikian, dia mengaku bahawa nafsunya kadang-kadang melepaskan ikatan itu dan menyukarkan dirinya dibawah para kehinaan dan melupakan Allah. Oleh itu, dia suka menambah imannya dengan memperluaskan kefahamannya dengan ilmu.
Masanya banyak dihabiskan untuk membaca, mengkaji dan merenungi kebesaran Allah. Allah berfirman yang bermaksud: " Dan apabila dibacakan ayat Allah, bertambahlah iman mereka kerananya."( Surah Al-Anfal:2)
Proses mendekatkan diri kepada Allah memerlukan sedikit usaha kajian, baik teori mahupun amali. Proses ini berterusan hingga ke akhir hayat manusia. Tanpa ilmu,kedudukan tertinggi di sisi-Nya hanya impian semata. Prinsip hidup orang beriman ialah menjual dirinya kepada Allah. Setiap hari dia mesti mendapat keuntungan daripada perniagaan itu. Dia hendaklah menutup harinya dengan tirai audit muhasabah, menyoal untuk rugi yang diperoleh, adakah amalannya bertambah atau berkurangan. Harta dan jiwa adalah sesuatu yang paling berharga dan manusia sanggup mengorbankan apa saja untuk mempertahankan keduanya. Harta dan jiwa menjadi modal kebahagian, namun ada segolongan sanggup melepaskan harta dan jiwanya untuk mendapatkan keredaan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sudah membeli daripada orang yang beriman diri dan harta mereka dengan syurga, mereka berjuang di jalan Allah." ( surah al- Taubah:111)
Tidak takut dengan celaan orang yang suka mencela. Alkisah seorang lelaki yang bercinta dengan wanita miskin, semua orang menghina lelaki itu kerana memilih wanita itu menjadi isterinya.Macam-macam komen yang didengar dan sungguh menyakitkan hatinya, tetapi kerana cinta dan kasih yang tulus, dia tidak mempedulikan segala penghinaan dan celaan orang. Begitu bulat hatinya membela sang isteri.
Bagaimanakah keadaan orang mukmin jika hatinya berada di sisi Allah? Sudah tentu dia tidak akan berasa takut dan malu dengan penghinaan orang yang dengki. Bukankah Allah lebih hebat kuasa-Nya daripada kekuatan manusia.

-Dipetik dari Dr. Juanda Jaya

No comments: