Assalamualaikum wbt...
InsyaAllah dikesempatan kali ini saya ingin mengajak para pembaca dan diri sendiri untuk sama-sama kita bermuhasabah serta mengkoreksi diri dalam langkah untuk kita terus maju serta beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan insyaAllah, juga di akhirat kelak.
Setiap dari kita hendaklah sentiasa mengingati serta menghitung kembali berapa banyak nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita. Nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga ini meliputi seluruh dari tubuh badan kita; iaitu dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Malah, diberikanNya juga nikmat kesihatan tubuh badan, pancaindera, keamanan negara, hutan belantara yang saujana mata memandang, udara, air serta banyak lagi nikmat-nikmat lain yang kalau dihitung, nescaya kita takkan mampu menghitungnya.
“Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (Ibrahim: 34)
Betapa besarnya nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan Allah kepada kita. Dunia ini, beserta dengan apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah khas untuk kita, tetapi berapa ramai di antara kita yang menyedarinya. Kita sebenarnya telah menguasai kehidupan, tetapi kita tidak menyedarinya.
“Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan)mu dan menyempurnakan nikmatNya untukmu lahir dan batin......”(Luqman:20)
Dia telah memberikan kita segala-galanya di dalam hidup ini. Apakah segala nikmat yang diberikan itu tiada peranannya??? Apakah kita masih belum menghargai nikmat sepasang mata untuk melihat keindahan, satu lidah untuk merasai makanan yang lazat-lazat, dua bibir untuk bercakap, dua tangan dan dua kaki untuk bekerja serta sepasang telinga untuk mendengar perkara-perkara yang menghiburkan?
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang layak kamu dustakan?” (Ar-Rahman:13)
Apakah kita mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih ramai lagi manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Apakah kita mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih ramai manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Kita juga diberikan rasa nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata di atas katil yang empuk, sementara masih ramai manusia lain yang tidak dapat tidur kerana menahan sakit yang sedang ditanggungnya. Malah, kita juga sentiasa dapat menjamu selera dengan makanan-makanan yang lazat dan minuman-minuman yang sejuk, sedangkan masih ramai lagi yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai, kemiskinan yang menghantui serta peperangan dan gempa bumi yang dialami...Pernahkan kita terfikir semuanya itu?
Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah telah menjauhkan kita daripada ketulian; penglihatan kita terhindar daripada kebutaan; dan kulit kita yang cantik dan halus terhindar daripada penyakit kudis dan gatal. Perhatikanlah juga otak kita! Allah telah memberikan kesihatan akal fikiran sehingga kita terhindar daripada kegilaan yang menghinakan. Mata...Apakah kita ingin menggantikan mata kita dengan emas sebesar gunung Uhud? Apa gunanya emas bertimbun-timbun sekiranya kita tidak dapat melihat ketulenannya? Telinga...Apakah kita ingin menjual pendengaran kita dengan harga satu bukit perak? Begitu juga dengan lidah, tangan dan kaki. Apakah kita ingin membeli istana-istana besar nan indah dengan lidah kita, namun kita bisu? Apakah kita ingin menukar kedua tangan kita dengan butiran-butiran permata dan berlian, tetapi tangan kita kudung?
Kita sebenarnya telah meraih betapa banyak kenikmatan yang tiada taranya. Tetapi sayang, masih ramai rupanya yang tidak menyedari dan mensyukurinya. Bahkan, ada juga yang hidup di dalam dunia yang tidak pasti, yang penuh dengan impian dan angan-angan malah terus-terusan di dalam kesedihan sekiranya angan-angan yang diidamkan tidak menjadi kenyataan. Padahal mereka masih lagi memiliki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, mata yang terpejam ketika tidur, kesihatan yang stabil dan bermacam-macam lagi.
Malah, kita juga seringkali menangisi sesuatu yang telah hilang sehingga kita lupa menghargai dan mencintai apa yang ada di hadapan kita. Kita merasa sedih kerana kekurangan material, padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan yang hanya akan disedari apabila kita duduk merenung dan bermuhasabah. Justeru itu, renungkanlah dan bersyukurlah!
“Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya?” (Adz;Dzariyat: 1-2).
Semoga perkongsian kali ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan kita dari terus terlena dan terus-terusan hanyut dalam kesedihan dan ketidakpuasan hati terhadap apa yang sedang kita miliki...Renung-renungkanlah!
(Sumber: La Tahzan, m/s:1-2)