Assalamualaikum wbt…
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi memberikan saya kekuatan serta idea untuk terus dikongsi di dalam blog ini. InsyaAllah, pada kesempatan kali ini saya tertarik untuk berkongsi sebuah kisah benar yang telah diceritakan oleh seorang ikhwah kepada saya.
Kisah tersebut merupakan sebuah kisah yang benar-benar berlaku di sebuah perkampungan di Indonesia. Di sana tinggalnya seorang perempuan tua miskin yang amalan hariannya hanyalah menyapu daun-daun kering di sebuah masjid pada waktu pagi. Bukanlah upah dan simpati warga jemaah masjid yang diharapkan, tetapi yang diharapkan hanyalah pahala di sisi Allah SWT.
Kerajinan dan kesungguhannya menyapu daun-daun kering setiap pagi akhirnya telah meraih simpati imam dan ahli jawatankuasa masjid. Tidak mahu terus menerus menyusahkan beliau, pihak jawatankuasa masjid telah mengambil keputusan untuk melantik seseorang bagi membersihkan halaman masjid pada setiap hari termasuklah bagi menyapu daun-daun kering yang sering dilakukan olehnya.
Pada suatu hari, perempuan tua tersebut terlewat untuk meneruskan rutin hariannya. Setibanya di perkarangan masjid, beliau sangat terkejut apabila mendapati halaman masjid itu telah dibersihkan. Malah tiada satu helaian pun daun-daun kering yang ditinggalkan untuk disapu. Beliau sangat sedih dan menangis di tangga masjid sehinggalah ketika imam datang untuk menunaikan solat zohor. Melihat perempuan tua itu menangis, lalu imam tersebut mengambil keputusan untuk mendekati dan bertanya kepadanya tentang masalah yang sedang dihadapi sehinggakan boleh menyebabkannya menangis pada hari itu.
Setelah ditanya tentang masalah yang dihadapi, ternyata jawapan yang diberikan oleh perempuan tua tersebut amat berbeza dan sangat mengejutkan. Berkata beliau,
“Pak Imam, mengapa kamu mengupah orang untuk membersihkan halaman masjid ini? Biarkanlah aku yang melakukannya. Tidak perlu sesekali merasa simpati kepadaku. Kerana sesungguhnya menyapu daun-daun kering ini merupakan bukti yang akan kupersembahkan kepada Allah SWT di akhirat kelak. Tiada amalan kebajikan lain yang mampu aku lakukan selain hanya dengan menyapu daun-daun kering ini. Aku sangat berharap dengan amalan inilah yang akan melayakkan aku menghuni syurga Allah SWT…”
Subhanallah para pembaca sekalian, lihatlah betapa hebatnya kefahaman seorang perempuan tua. Beliau tidaklah mengharapkan ganjaran apatah lagi simpati daripada masyarakat malah yang diharapkan hanyalah redha dan pahala di sisi Allah SWT. Dengan kemampuan yang terbatas, beliau tetap melakukan amal kebajikan yang akan membantu merealisisasikan impiannya untuk menghuni jannah Allah.
Namun bagaimana pula dengan diri kita???
Sama-samalah kita semak balik diri kita, merenung dan muhasabah sejauh mana amalan yang telah kita amalkan. Dan sejauh mana pula kita mampu terus istiqamah dengan amalan tersebut. Jangan hanya bersemangat di awalnya sahaja tetapi senyap di kemudian hari ibarat kata pepatah orang lama “ hangat-hangat tahi ayam”…
Semoga perkongsian ringkas pada kali ini dapat memberikan ibrah yang sangat bermakna kepada para pembaca sekalian. Tiada lain melainkan menulis untuk berkongsi dan mencari punca keredhaan Allah SWT. Wallahua’lam…
“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.” (Al-Baqarah:265)
Imam Bukhari dan Muslim mengetengahkan sebuah riwayat, bahwa Rasulullah saw telah bersabda: "Seandainya salah seorang di antara kamu melakukan suatu perbuatan di dalam gua yang tiada pintu dan lubangnya, maka amal itu tetap akan bisa keluar (tetap dicatat oleh Allah) sampai kapan pun."